Sunday, April 11, 2010

Perkembangan Emosi Kanak-Kanak Pertengahan Dan Akhir

DEFINISI EMOSI

Perkataan emosi ini berasal daripada perkataan Greek iaitu “ emovere “ yang membawa maksud “ untuk keluar “. Oleh itu, emosi merupakan tindak balas atau kebangkitan yang ditonjol keluar terhadap sesuatu perkara, objek, orang atau keadaan yang bertindak sebagai ransangan kepada perasaan emosi. Emosi juga akan ditonjol keluar sebagai satu bentuk bagi memenuhi kepuasan seseorang. Selain itu, emosi juga boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang dialami oleh manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi. ( Mohmood Nazar Mohamad, 1992 ). Emosi juga adalah merupakan penggerak utama bagi menggambarkan tingkah laku kanak-kanak khususnya peringkat pertengahan dan akhir. Hal ini kerana menerusi emosi yang dilahirkan, mereka dapat menonjolkan segala bentuk perkara yang dirasai serta yang difikirkan. Seterusnya, emosi juga adalah berbeza mengikut individu.

PERKEMBANGAN EMOSI PERINGKAT PERTENGAHAN KANAK-KANAK

Pada peringkat pertengahan kanak-kanak ini, kematangan emosi kanak-kanak sudah wujud iaitu berubah daripada keadaan tidak menentu kepada sifat berdikari dan efisien kendiri. Selain itu, emosi yang fleksible juga sudah timbul. Seterusnya emosi juga menjadi lebih spesifik, pelbagai dan kompleks. Pada peringkat ini juga kanak-kanak mengeluarkan banyak jenis perasaan seperti gembira, sedih dan sebagainya. Kanak-kanak juga mula belajar keadaan dan masa yang sesuai untuk mengeluarkan atau menyembunyikan perasaannya. Justeru, kawalan emosi ini dapat menggambarkan keadaan perkembangan kognitif kanak-kanak tersebut. Antara emosi yang wujud semasa peringkat pertengahan kanak-kanak adalah seperti :

i. Ketakutan dan kebimbangan

Ø Kadar ketakutan tentang keselamatan badan ( sakit ), binatang, bising, kegelapan dan ribut berkurang. Manakala ketakutan kepada semangat seperti hantu masih tinggi. Selain itu, kanak-kanak juga takut terhadap perkara yang berkaitan dengan sekolah ( contohnya ujian ) dan keluarga. Hal ini bersesuaian dengan meningkatnya sempadan sosial. Di samping itu, kanak-kanak pada peringkat ini juga bimbang akan penilaian atas dirinya dan kanak-kanak juga takut ditertawa, disisih serta tidak disokong oleh rakan, ibu bapa, dan guru. Selain itu, mereka juga sudah mula takut kehilangan ibu bapa mereka misalnya takut ibu bapa meninggal.

ii. Kemarahan dan perlakuan agresif

Ø Emosi marah yang ditonjolkan dalam bentuk fizikal seperti menendang, menolak dan memukul adalah perkara biasa. Selain itu pada peringkat pertengahan, kanak-kanak juga belajar untuk menyalurkan emosi marah secara lisan seperti mengutuk, menengking dan sumpah serta ekspresi yang pasif seperti menunding jari dan menjeling dengan marah. Seterusnya, sebelum bertindak agresif, kanak-kanak perlu “ memikirkan “ tentang niat dan motif orang lain. Hal ini juga sukar dilakukan oleh kanak-kanak yang kecil.

iii. Kegembiraan dan humor ( lawak )

Ø Emosi gembira wujud disebabkan oleh perasaan kanak-kanak ini diterima dan mereka mendapat kepuasan apabila berjaya melakukan sesuatu. Selain itu, emosi gembira ini juga wujud apabila kanak-kanak mendapat kepuasan untuk memenuhi perasaan ingin tahu mereka dan kewujudan kemahiran baru. Seterusnya, kanak-kanak juga mempunyai emosi gembira apabila dapat menguasai persekitaran baru, contohnya di sekolah rendah. Hal ini kerana apabila di sekolah, mereka dapat bersama rakan, mendapat hadiah dan cabaran membuat sesuatu yang baru .

iv. Perasaan sayang

Ø Perasaan sayang ini adalah abstrak dan memerlukan kematangan kognitif. Seterusnya kanak-kanak juga mempelajarinya lebih awal misalnya seperti perasaan manja dan rapat dengan ibu bapa. Perasaan ini juga dapat membentuk harga diri kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengalaminya dapat melihat diri mereka sebagai subjek yang penting untuk disayangi oleh orang lain.

Di samping itu pada peringkat pertengahan juga kanak-kanak sudah pandai menyembunyikan emosi yang negatif dengan berpura-pura menunjukkan keseronokkan. Kanak-kanak pada peringkat ini juga sudah mula memahami dan menghurai emosi yang kompleks seperti perasaan malu, rasa bersalah dan sebagainya. Perasaan takut kanak-kanak mula berkembang kepada yang lebih realistik contohnya takut kepada kejadian jenayah. Pada peringkat ini juga kanak-kanak ingin disayangi dan amat memerlukan bantuan untuk mengenalpasti emosi marah agar tidak “out of control” dan mula belajar mengawal perasaan. Mereka juga memerlukan dorongan untuk mengatasi rasa takut dan sudah mula memahami keperluan kumpulan.

PERKEMBANGAN EMOSI PERINGKAT AKHIR KANAK-KANAK

Pada peringakat ini emosi kanak-kanak bertambah kompleks dan memerlukan pelbagai tuntutan. Selain itu, sesetengah daripada kanak-kanak ini dapat atau berjaya berhadapan dengan situasi-situasi mencabar ini.Terdapat juga yang tewas dan akhirnya membawa kepada pelbagai masalah tingkah laku seperti tekanan, ketakutan dan kebimbangan. Apabila melihat perkara yang menakutkan mereka akan menutup mata dengan tangan. Seterusnya, kanak-kanak pada peringkat ini lebih mudah memahami dan menangani tekanan berbanding peringkat awal kanak-kanak.




video di atas menunjukkan emosi gembira kanak-kanak pertengahan dan akhir

No comments:

Post a Comment